I made this widget at MyFlashFetish.com.

YB ADUN SURA

Isnin, 21 Disember 2009

Hari pertama Sidang DUN Terengganu 'panas' soalan wakil BN

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sebelum ini disifatkan agak 'muram', hari ini bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.

Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ahmad berkata kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang semuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan...seolah-olah sebagai parti pembangkang...tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan